Tentang Kami

"Hati yang tenang adalah asas kepada tindakan yang lestari. Apabila kita menjaga diri dengan baik, barulah kita dapat menjaga bumi dengan lebih bermakna."

kahyeelestari hug tree

Segalanya Bermula Dengan Sebuah Pelukan​​

Perjalanan saya bersama alam tidak bermula di dalam bilik kuliah, tetapi di tengah hutan saat saya menyertai sebuah latihan sukarelawan. Buat pertama kalinya, saya memeluk sebatang pokok. Pada saat itu, saya bukan sahaja menemui keajaiban ekosistem, tetapi saya menemui kembali “diri saya” yang selama ini hilang dalam hiruk-pikuk dunia. Pengalaman itu begitu mendalam sehingga ia mengubah hala tuju hidup saya dan membawa saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pendidikan Alam Sekitar (M.Sc.) di Taiwan.

 

Sekembalinya ke tanah air, saya sangat bertuah kerana berpeluang menyumbang tenaga dalam pelbagai inisiatif kelestarian. Saya amat menghargai setiap liku pembelajaran melalui pengasasan Let’s RE dan seterusnya menjadi rakan kongsi pengasas di Eco Lestari Strategy.

 

Bekerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan yang hebat dalam bidang kelestarian dan pendidikan alam sekitar adalah satu amanah yang amat saya syukuri. Pengalaman profesional ini bukan sahaja mematangkan saya, tetapi menguatkan tekad saya untuk terus berkhidmat demi bumi yang kita cintai.

 

Dalam usaha murni “menyelamatkan bumi”, saya mula menyedari satu hakikat yang sangat halus namun penting. Di sebalik dedikasi kita terhadap impak luaran, seringkali kita terlepas pandang akan “ekosistem dalaman” kita sendiri.

 

Saya juga manusia biasa. Dalam keghairahan memberi yang terbaik, ada kalanya saya merasa lelah. Pernah pada satu ketika, dalam keheningan selepas waktu kerja, saya terduduk sendirian dan menyedari betapa pentingnya untuk kita mempunyai “ruang untuk bernafas”. Saya melihat rakan-rakan di sekeliling juga mendambakan ketenangan yang sama di tengah dunia yang bergerak terlalu pantas.

 

Di situlah muncul satu refleksi yang mendalam: Kesejahteraan yang sebenar bermula dari dalam. Saya memilih untuk mendalami semula Terapi Alam, mengamalkan yoga, dan latihan kesedaran (mindfulness) sebagai sebahagian daripada gaya hidup. 

 

Misi saya di Terapi Alam, bukan untuk menggantikan usaha kelestarian sedia ada, tetapi sebagai pelengkap melalui apa yang kami panggil “Kesejahteraan Lestari” – sebuah lingkaran kebaikan yang bermula dari ketenangan dan berakhir dengan pemulihan alam semula jadi.

 

nature vision

Visi Kami

Menjadi peneraju dalam memupuk masyarakat yang sejahtera secara holistik menerusi hubungan mendalam antara manusia dan alam semulajadi.

Misi Kami

- Membimbing individu dan organisasi memulihkan 'ekosistem dalaman' melalui bimbingan yang berasaskan jiwa dan disokong oleh sains.


- Menyediakan ruang selamat (safe space) untuk pemulihan emosi dan pencarian ketenangan di dalam dakapan alam.


- Mengintegrasikan elemen kesejahteraan (wellness) ke dalam gaya hidup dan budaya kerja demi kelestarian insan yang holistik.

Nilai Teras Kami

  • Sains & Kredibiliti (Science-Based): Kami percaya pemulihan sejati mestilah didasari ilmu. Setiap program kami menggabungkan sains ekosistem dan teknik mandi hutan (Shinrin-yoku) yang terbukti secara klinikal dapat mengurangkan hormon stres dan meningkatkan sistem imun.

 

  • Kesejahteraan Holistik (Holistic Well-being): Kelestarian bukan sekadar tentang alam sekitar, tetapi juga tentang keseimbangan minda, emosi, dan fizikal.

 

  • Keikhlasan & Kesederhanaan (Authenticity & Slow Living): Kami mengajak anda kembali ke akar umbi, memperlahankan rentak, dan menghargai setiap saat yang bermakna tanpa penghakiman.

Kepakaran & Komitmen Profesional

Di Terapi Alam, niat yang murni didukung oleh kredibiliti profesional yang diiktiraf:

  • Sarjana Pendidikan Alam Sekitar (M.Sc. Env Ed, NTNU, Taiwan): Menggabungkan sains alam sekitar dengan metodologi pendidikan yang menyentuh jiwa.

  • Certified Shinrin-yoku Guide: Bimbingan mandi hutan profesional yang berasaskan bukti klinikal untuk kesihatan mental.

  • HRDC Accredited Trainer: Memastikan program kami memenuhi piawaian korporat dan layak dituntut (claimable) melalui dana latihan syarikat.

  • Spesialis Pelaporan GRI (Sustainability Reporting): Membantu organisasi menterjemahkan nilai ESG kepada impak nyata bagi kesejahteraan staf.

Mari Kita Berhubung

Sama ada anda ingin merancang program kesejahteraan untuk pasukan korporat anda, atau sekadar ingin menyertai saya dalam sesi healing peribadi, saya sedia menemani perjalanan anda.

 

Ingin mengenali saya lebih dekat atau membaca penulisan saya di kolum akhbar? Jemput melawat laman peribadi saya di kahyeelestari.com atau ikuti kongsian harian di TikTok @kahyeelestari.